SHAH ALAM – Vateran Umno Malaysia menyeru seluruh ahli keluar mengundi Barisan Nasional (BN) Ahad ini bagi memastikan komponen itu memperolehi dua per tiga kerusi Parlimen dan merampas kembali negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat (PR).

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, dengan sokongan padu ahli-ahlinya yang seramai 750,000 diseluruh negara, BN mampu menang dan berjaya merampas semula negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dari Pas, PKR serta DAP.

“Adalah menjadi satu ibadah wajib bagi setiap ahli Veteran Umno keluar mengundi BN bersama keluarga mereka bagi mengekang kemungkaran yang dilakukan oleh PR.

“Inilah masanya Veteran berjihad bagi memastikan BN menang besar dalam PRU13 ini dan PR  terkubur di negara ini demi kesetabilan politik, perpaduan ummah dan kemakmuran ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, jihad ini wajib demi agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, kata beliau, Veteran juga menggesa setiap ahlinya memastikan lima orang ahli keluarganya iaitu isteri atau suami, dua anak dan dua menantu mereka keluar mengundi BN.

Jelas beliau, saranan ini bersesuaian dengan slogan kempen Veteran "Keluargaku Pengundi BN".